Home » » AES: Mengapa Syarikat Dapat Lebih Berbanding Kerajaan?

AES: Mengapa Syarikat Dapat Lebih Berbanding Kerajaan?



.

Kenyataan Media
17 Julai 2013

AES: Mengapa Syarikat Dapat Lebih Berbanding Kerajaan?

Menurut jawapan Menteri Pengangkutan, sebanyak RM20,020,500 kompaun hasil Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berjaya dikutip. Agihan kutipan saman sehingga 15 Mei 2013 menyaksikan sebanyak RM13,550,758 diberikan kepada syarikat manakala RM3,429,910 kepada kerajaan. Ia adalah berdasarkan Formula Tiga Langkah dalam Perjanjian Konsesi.

Namun bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), jumlah agihan ini amat mengejutkan sama sekali. Bagaimana syarikat konsesi memperolehi 'ganjaran' jauh lebih besar daripada pihak kerajaan?

Dari jumlah kutipan ini juga mendapati kerajaan hanya memperolehi RM 3.4 juta iaitu hanya 15 peratus daripada jumlah yang berjaya dikutip dari rakyat manakala syarikat konsesi pula mendapat hampir 70 peratus. Ini menunjukkan sistem AES ini bukan sahaja menjerat orang ramai untuk membayar saman, malah menjadi medium syarikat kroni mengaut keuntungan luar biasa.

Menurut formula yang telah diperkenalkan, syarikat hanya layak ambil RM16 daripada setiap saman yang dijelaskan, bukan dari jumlah notis saman yang dikeluarkan. Ini bermakna syarikat hanya berhak memperolehi RM1.07 juta sahaja dari jumlah 66 ribu saman yang telah dijelaskan oleh rakyat. SAMM mendesak pihak kerajaan supaya menjelaskan dengan lebih terperinci mengapa perkiraan pelik ini terjadi. 

Sebelum saman AES diperkenalkan, semua jumlah saman yang dibayar oleh rakyat akan masuk ke poket kerajaan. Ini bermakna kerajaan mendapat hasil sepenuhnya daripada pembayaran saman tersebut. Namun setelah AES diperkenalkan, kerajaan hanya menerima 15 peratus sahaja dari jumlah bayaran saman tersebut dan selebihnya dibahagi sesama syarikat kroni. Ini sudah pastinya tidak berbaloi sama sekali untuk samada untuk kerajaan mahupun untuk rakyat yang membayar saman tersebut.

SAMM menegaskan bahawa sistem AES hanya mendera rakyat dan ia tidak mendatangkan hasil lumayan dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalanraya, ia hanya lumayan buat pihak tertentu. Justeru SAMM menyokong sebarang gerakan memansuhkan sistem AES.

Jika maklumat ini dikongsi kepada seluruh rakyat Malaysia, ia pasti akan menimbulkan kemarahan. Maka jika ada tiang kamera AES yang tumbang lagi, janganlah pula disalahkan rakyat, tetapi fikirlah mengapa ia berlaku.

Sekian

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

 
Hubungi : Facebook | Twitter
Copyright © 2012. MiLo SuaM - Peringatan! Jangan percaya bulat-bulat info daripada blog ini. Gunakan akal fikiran anda!
Template modified from Wordpress Hack
tracker Powered by Blogger