Home » » Dakwaan terhadap blogger Milo Suam satu penindasan

Dakwaan terhadap blogger Milo Suam satu penindasan



DAKWAAN terhadap blogger Milo Suam yang berasal dari semenanjung di Kota Kinabalu menunjukkan penindasan terhadap seorang warganegara, kata penasihat Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen.

"Mengikut Seksyen 121, Kod Prosedur Jenayah, individu perlu didakwa di lokasi kesalahan dilakukan.

"Milosuam seorang blogger yang berpangkalan di Kuala Lumpur sedangkan pendakwaan dilakukan di Kota Kinabalu. Beliau tidak menjejakkan kakinya di Sabah ketika kenyataan itu dibuat.

"Pendakwaan ini bukan hanya membebankan, malah menafikan haknya mendapat perwakilan secara undang-undang," kata Eric dalam kenyataan.

Menurut Eric, LFL telah mewakili Milo Suam sejak penahanannya awal Mei lalu.

Namun, pendakwaan yang dibuat di Kota Kinabalu menyebabkan wakil LFL tidak dapat berbuat demikian.

"Peguam dari semenanjung tidak dibenarkan muncul di mahkamah di Sabah. Keadaan ini memaksa anak guam kami mencari peguam baru di Sabah," kata Eric.

Tambahnya, lebih merumitkan apabila hakim Edward Paul meletak ikat jamin RM15,000, jumlah yang tidak munasabah, malah melebihi denda yang perlu dibayar jika didapati bersalah.

Justeru, beliau menggesa Ketua Hakim membetulkan tindakan pendakwaaan yang menyalahi undang-undang dan sewenang-wenangnya selain menggesa pendakwaan dibawa ke Kuala Lumpur atau Selangor.

Milo Suam dituduh atas dakwaaan 'menyebabkan rasa takut' kerana menyiarkan pada blognya kiriman bertajuk 'Maklumat Sulit: Pendatang Asing Bakal Cetus Huru-Hara di Sabah?'

Milo Suam atau nama sebenarnya, Yusuf Al Siddique Suratman,ditahan di lokap IPD Kota Kinabalu sejak 25 Jun dan dibebaskan Rabu lalu.

Sumber: Keadilandaily


 
Hubungi : Facebook | Twitter
Copyright © 2012. MiLo SuaM - Peringatan! Jangan percaya bulat-bulat info daripada blog ini. Gunakan akal fikiran anda!
Template modified from Wordpress Hack
tracker Powered by Blogger