Home » » [Kenyataan SAMM] TINDAKAN TERPUJI SAFWAN ANANG

[Kenyataan SAMM] TINDAKAN TERPUJI SAFWAN ANANG



Kenyataan Umum
30 Mei 2013

TINDAKAN TERPUJI SAFWAN ANANG

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memuji tindakan Presiden Solidariti Mahasiswa (SMM) yang memilih untuk tidak dijamin sebagai tanda protes terhadap sistem demokrasi negara.

Ketika beliau boleh sahaja memilih untuk bebas dengan bayaran wang jaminan, boleh menemani isteri yang sarat mengandung, tetapi penjara menjadi pilihan. Ia satu tindakan tekad dan berani. 

Bagi SAMM, Apa yang dilakukan oleh Safwan Anang adalah bukan untuk dirinya, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia hari ini yang telah dirampas hak demokrasi sejak sekian lama. Kemuncaknya ialah apabila demokrasi digelapkan pada 5 Mei lalu yang menyebabkan kemenangan rakyat dirampas. 

Setelah demokrasi mati, rakyat terus dihimpit. Kebebasan bersuara hanya ada pada pemerintah dan anasir mereka, termasuklah yang rasis. Rakyat yang bangkit bersuara tentang penipuan pilihanraya telah ditangkap dan dilokap, direman semaksima yang boleh. Seruan untuk perhimpunan aman samada di padang atau di jalanraya berakhir dengan penangkapan dan dakwaan yang melampau. Malaysia hilang cahaya demokrasi dan rakyatnya hidup dalam arena kuku besi.

Maka SAMM berpendapat, asbab di atas telah mendorong Safwan Anang bertindak mengambil peranan mengorbankan dirinya untuk dipenjara. Rakyat wajar terus bangkit dan bergerak. Jangan kita benarkan Safwan Anang menanggung derita keseorangan, ayuh ambik peranan masing-masing dan maju ke depan melawan kezaliman.

SAMM juga mendesak supaya semua Safwan Anang segera dilepaskan dan segala dakwaan terhadap mereka yang menyuarakan kebenaran harus digugurkan. Dalam masa yang sama, SAMM turut mendesak supaya tuntutan rakyat khususnya perletakan jawatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera dilaksanakan sebelum rakyat bertindak menghumban SPR dan 'tuan'nya.

Solidariti buat Safwan Anang juga telah menjalar di utara tanahair, malam ini di bulatan Bukit Tengah Pulau Pinang. Esok pula di hadapan pejabat KDN. Banyak lagi aksi yang telah disusun dan bersedialah dengan aksi kemuncak dalam masa terdekat - Rakyat menentang kerajaan zalim legasi penjajah, bersenjatakan garam dan air mineral, berpeluru keazaman mengembalikan demokrasi yang hilang!

Tipu pilihanraya, turun jalanraya dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.


EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

 
Hubungi : Facebook | Twitter
Copyright © 2012. MiLo SuaM - Peringatan! Jangan percaya bulat-bulat info daripada blog ini. Gunakan akal fikiran anda!
Template modified from Wordpress Hack
tracker Powered by Blogger