Home » » Sindiket pelacuran gunakan facebook untuk cari pelanggan

Sindiket pelacuran gunakan facebook untuk cari pelanggan



Sindiket pelacuran kini menyalahgunakan laman sosial Facebook bagi menawarkan khidmat haram mereka dengan menyiarkan gambar wanita yang tidak terbabit dalam kegiatan itu menggunakan teknik pertindihan gambar, bagi menarik pelanggan.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata sehingga kini pihaknya menerima lima laporan daripada mangsa terbabit.

Kes terbaharu membabitkan seorang pegawai pentadbiran di sebuah syarikat swasta yang terpaksa menanggung malu setelah gambar wajahnya dipaparkan dalam Facebook sebagai gadis yang menawarkan perkhidmatan seks, sejak empat bulan lalu, katanya dalam sidang akhbar semalam.

Wanita berusia 20 tahun tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, gambarnya telah digunakan dalam dua akaun Facebook iaitu 'Jessy Serikembangan' dan 'Lisa Carino' kononnya beliau menawarkan khidmat seks dengan caj RM200 untuk sekali perkhidmatan dan RM500 untuk tempoh semalaman.

Tan dari Shah Alam berkata beliau mendapati wajahnya telah dipotong dan disambungkan kepada gambar badan wanita lain yang berpakaian seksi dan berbikini.

"Saya mendapat tahu apabila rakan saya memberitahu wajah saya disiarkan di laman itu. Saudara dan rakan saya menganggap saya terpaksa menjual tubuh saya kerana masalah kewangan. Ini amat memalukan saya," katanya.

Tan berkata sehingga kini wajahnya masih terpampang di laman sosial berkenaan.

Beliau berkata beliau telah menyamar sebagai pelanggan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sindiket itu telah meminta beliau terlebih dahulu memasukkan RM300 ke dalam akaun sebuah bank milik individu lain.

Tan berkata beliau telah membuat laporan polis Ogos lepas dan kepada pengurusan Facebook yang sehingga kini belum mendapat sebarang tindak balas.

Sumber: Malaysiakini

 
Hubungi : Facebook | Twitter
Copyright © 2012. MiLo SuaM - Peringatan! Jangan percaya bulat-bulat info daripada blog ini. Gunakan akal fikiran anda!
Template modified from Wordpress Hack
tracker Powered by Blogger