Home » » Pakatan Rakyat tawan putrajaya, siapa paling layak jadi PM?

Pakatan Rakyat tawan putrajaya, siapa paling layak jadi PM?



TERBARU, seakan ada sedikit pergeseran atau polemik berhubung jawatan Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya menawan putrajaya. Ada yang mencadangkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat mentadbir Malaysia nanti.

Usul atau cadangan melantik Presiden PAS sebagai perdana menteri muncul dalam muktamar tahunan Parti Islam, PAS yang ke 58 di Kelantan baru-baru ini. Jika sebelum ini, umum mengetahui bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim sering disebut-sebut sebagai PM daripada Pakatan Rakyat.

Suka ReJaM® untuk berikan pendapat peribadi dalam hal ini. Kita perlu realistik di dalam memilih perdana menteri bagi memikul amanah mentadbir negara ini. Jawatan perdana menteri satu tugas yang berat, tugas yang harus diberikan kepada pemimpin yang benar-benar layak.

Sebelum melangkah naik ke jawatan paling tinggi dalam negara, iaitu jawatan perdana menteri, seorang pemimpin itu mesti memegang jawatan menteri-menteri lain bagi menimba pengalaman dan diuji kebolehannya.

Seorang pemimpin mesti menimba pengalaman terlebih dahulu tentang selok belok, dan sepak terajang pentadbiran dalam kementerian-kementerian yang lebih rendah, seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian, Kementerian Pendidikan dan lain-lain.

Kalau kita lihat Kementerian Pendidikan boleh dianggap ujian terakhir sebelum seseorang pemimpin layak dicadangkan untuk memegang jawatan perdana menteri. Ini kerana kementerian pendidikan adalah kementerian paling besar dan jawatan menteri pendidikan adalah jawatan paling mencabar kerana perlu mentadbir setiap sekolah yang ada di setiap ceruk pelusuk negara, setiap kampung, daerah, dan negeri dari Perlis sampailah ke Sabah.

Selepas menimba pengalaman dalam kementerian-kementerian yang lebih rendah barulah seorang pemimpin itu layak ke jawatan timbalan perdana menteri sekaligus melalui satu lagi sepak terajang pentadbiran negara secara keseluruhan di samping menunggu masa kekosongan jawatan nombor satu negara.

Dalam Pakatan Rakyat, hanya Anwar Ibrahim satu-satunya pemimpin yang sudah melepasi semua ujian yang disebutkan di atas malah beliau merupakan seorang timbalan perdana menteri sebelum dipecat dengan zalim oleh Mahathir.

Maka pendapat ReJaM® secara peribadi, Anwar Ibrahim adalah pemimpin paling layak dibebankan dengan tanggung jawab sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya mentadbir Malaysia. Kelak beliau jugalah yang harus mendidik pemimpin pelapis untuk memegang jawatan itu bagi menggantikannya.

Menyerahkan tugas kepada orang yang benar-benar layak adalah satu tanggung jawab. Apa pula kata anda?

Sent from my BlackBerry®

 
Hubungi : Facebook | Twitter
Copyright © 2012. MiLo SuaM - Peringatan! Jangan percaya bulat-bulat info daripada blog ini. Gunakan akal fikiran anda!
Template modified from Wordpress Hack
tracker Powered by Blogger